Jumaat Biru

Tiba-tiba aku teringat kisah dulu-dulu, masa aku di sekolah menengah. Sekolah aku, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohd Jiwa, Sungai Petani, sekolah paling seronok dan happening dalam dunia, mengatasi sekolah-sekolah para pembaca sekalian. Hari Jumaat, beberapa buah bas sekolah bewarna oren akan masuk ke perkarangan sekolah untuk mengambil pelajar-pelajar ke masjid negeri yang berada di pekan Sungai Petani(ketika itu Sungai Petani masih lagi berstatus pekan bagi aku). Ada pelajar yang ingin bergegas awal ke masjid untuk beristikharah dan menambah pahala, dan ada juga yang ingin cepat-cepat tiba di sana untuk melencong ke bank mengeluarkan duit, pergi ke pasaraya sebentar untuk membeli-belah ataupun pergi ke Medan Selera Taman Jubli yang terletak betul-betul di belakang masjid negeri. Pelajar-pelajar yang tidak bertanggungjawab ini selalunya adalah pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5, yang sudah besar dan merasakan mereka mampu berbuat apa saja hehehe.

Aku pun tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam kerja yang kononnya jahat ini bermula dari aku di tingkatan 4. Kadangkala aku ke bank BSN yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid membuat urusan, kalau tidakpun aku ke SP Plaza yang terletak lebih kurang 300 meter dari masjid untuk membuang masa membeli-belah ataupun cukup sekadar window shopping. Tetapi, kegemaran aku nombor satu mestilah ke medan selera dan merasa kesedapan laici kang di gerai abang yang mempunyai isteri yang cantik itu hahaha. Ais kacang di situ pun tidak kurang sedapnya dan ditambah pula dengan menu-menu lain seperti nasi goreng ayam dan sebagainya. Makan sambil berborak dengan rakan-rakan sudah tentu akan menambah perisa kepada makanan yang dipesan.

Untuk menjadikan kisah ini lebih menarik, telah berlaku satu serbuan besar-besaran di medan selera itu oleh Penolong Kanan HEM ketika itu, En.Pesol yang terkenal dengan sifat bengis dan gila-gilanya yang datang serentak. Aku masih ingat lagi hari Jumaat kliwoon ketika serbuan itu berlaku. Aku dan beberapa rakan-rakan yang lain sedang menikmati pesanan masing-masing. Kain sampin sekolah bewarna hijau aku silangkan di bahu seperti panglima zaman dahulukala. Songkok aku pula entah di mana. Sememangnya aku sudah merasakan aura kedatangan En.Pesol kerana laici kang aku pada hari itu lebih sedap dari biasa dan rakan-rakan aku juga menyatakan ais kacang mereka lebih umph, seperti isteri abang itu sudah masukkan ciumnya sekali ke dalam ais kacang sebagai bahan tambahan.


Masa berlalu lagi

Sedang rancak aku ketawa, aku terpandang susuk tubuh sedang bercekak pinggang di tengah-tengah lorong ke kecil yang menghubungkan masjid dan medan selera . Wajahnya tidak begitu kelihatan kerana tubuhnya membelakangi cahaya matahari yang terpancar, menambah kegerunan sesiapa yang melihatnya. Tubuh itu seperti bergegar menahan kemarahan dan ketika saat itu dia menyergah, “Hoi!!”

Ketika itu juga salah seorang dari kami mengeluarkan arahan, “Berpecah!!”. Bermulalah drama kejar-mengejar yang penuh aksi-aksi yang mendebarkan. Beberapa pelajar bertempiaran lari ke arah klinik gigi kerajaan, ada sesetengahnya yang berlari ke arah perpustakaan awam yang berada terus di hadapan dan aku serta Anas, memilih untuk memperjudikan nasib kami dengan berlari masuk ke taman jubli perak. Tiada seekor pun dari kami yang sempat pergi membayar harga makanan dan abang itu cuma mampu tercengang melihat pelanggan-pelanggannya yang berbaju melayu putih dan sampin bersilang di bahu berlari bertempiaran di kejar guru mereka. Aku dan Anas menyusuri tepi sangkar besar tempat simpanan pelbagai jenis burung dan melalui kolam ikan besar menuju ke arah tempat berehat yang dilengkapi bangku tempat pasangan kekasih membuat maksiat.

Peluh membasahi baju melayu aku dan Anas. Kami berhenti berehat sebentar di bangku berdekatan dengan kolam dan meninjau memastikan En.Pesol tidak mengejar kami berdua. Aku dan Anas bukanlah penjenayah paling dikehendaki pihak sekolah dan aku percaya En.Pesol mungkin memilih untuk mengejar Hambali a.k.a Bob ataupun Helmi a.k.a Pak Zai yang berstatus RM50 ribu bagi sesiapa yang dapat memberikan informasi sehingga tertangkapnya mereka. Namun begitu kami berdua masih mengambil langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri En.Pesol akan mengubah modus operandinya dan mahu menangkap muka-muka baru pula. Setelah yakin kami tidak diekori, aku dan Anas mula ketawa terbahak-bahak. Itu mungkin salah satu dari saat yang paling mencemaskan dalam hidup aku termasuk saat ketika aku menunggu untuk dikhatankan. Kami bersalaman serta mengucapkan tahniah kepada diri masing-masing kerana selamat walaupun kami masih dapat merasakan aura En.Pesol masih kuat di kawasan itu.

Setelah bergerak keluar dari taman jubli, kami menyusuri jalan bersebelahan SP Club dan menuju kembali ke masjid melalui pintu hadapan. Selesai mengambil wudhu aku mengambil tempat di dalam masjid. Aku dapat menangkap beberapa isyarat mata dari mereka-mereka yang berjaya meloloskan diri dari serbuan dan sudah berada di dalam masjid, berpura-pura istikharah hehehe. Minggu-minggu berikutnya kami bergilir-gilir pergi ke gerai abang laici kang dan membayar kembali harga makanan. Walaupun dia menyatakan yang dia memahami keadaan kami semua, tetapi hanya diri sendiri yang tahu besarnya malu yang perlu ditanggung untuk menemui abang itu semula setelah kejadian tempoh hari. Cuma isteri cantiknya yang aku rasa dapat meredakan perasaan kami semua hahahahahaha…

Lampiran:
1. Anas sekarang sedang meneruskan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia dan semoga dia berjaya menempuhi kesusahan yang sedang melanda dirinya sekarang.

2. Hambali pula berada di UITM Shah Alam dalam bidang Aeronautik dan dipercayai masih stabil baik dari segi ekonomi mahupun perasaannya.

3. Manakala Helmi pula sedang berkhidmat dalam pihak tentera udara.
 

 
                                                                                              Hit 
Counter