Bila dah masuk hantu...

Antara perkara yang selalu mengganggu fikiran aku, kau dan dia adalah masalah dalam hubungan di antara lelaki dan wanita. Bagi orang-orang yang pernah bercinta, mereka ini pasti pernah melalui satu ketika apabila semuanya serba tidak kena, apabila perasaan cinta itu menghilang secara tiba-tiba, ataupun apabila ‘sejarah’ kekasih mereka muncul kembali, ataupun dihantui oleh perasaan sendiri yang tidak mampu berfikir secara positif dan meragui cinta pasangan. Jika inginkan contoh, terlalu banyak keadaan atau kisah yang boleh aku berikan, maka secara mudahnya aku simpulkan segala perkara-perkara ini sebagai keadaan serba tidak kena (yup aku dengan suka sukinya mewujudkan frasa ni). Sebelum artikel ini dibaca dengan lebih lanjut, aku harapkan para pembaca boleh menetapkan dalam minda bahawa artikel ini ditulis secara umum, tidak ditujukan ke mana-mana pihak dan hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

Apabila keadaan serba tidak kena berlaku, kebiasaannya lelaki akan mengambil langkah menghilangkan diri. Mereka bukan melarikan diri dari masalah tetapi sebenarnya cuba menjauhkan masalah itu dari orang yang mereka sayang, kekasih atau keluarga, dan dalam masa yang sama cuba menyelesaikan masalah itu. Setelah masalah itu selesai mereka akan kembali semula ke pangkuan orang tersayang. Namun tidak semua kes akan berakhir begini. Ada juga sesetengah lelaki yang ‘sesat’ atau menemui ‘jalan baru’ ketika mereka menghilangkan diri itu. Contoh mereka yang ‘sesat’ adalah lelaki-lelaki yang menemui cinta baru tetapi malangnya cinta itu adalah palsu. Contoh mereka yang menemui ‘jalan baru’ pula adalah lelaki-lelaki yang menyedari cinta mereka yang sebelum itu tidak patut berlaku dan semuanya adalah satu kesilapan. Tetapi kebiasannya, mereka cuma mengambil waktu cuti, cuti dari perhubungan cinta mereka yang penuh ranjau, dan kemudian kembali semula ke pangkuan kekasih. Jadi adakah tindakan lelaki-lelaki ini betul? Mereka yang menghilangkan diri terlalu lama sememangnya melakukan kesalahan, tambahan lagi jika sebelum itu mereka tidak mengkhabarkan pemergian mereka. Tetapi bagaimana pula dengan ‘bercuti’? Cuba timbangkan sendiri.

Wanita sentiasa memerlukan insurans berkaitan perasaan pasangan terhadap hubungan mereka samada dalam bentuk kata-kata, tindakan ataupun apa-apa saja. Kalau ada wanita yang membaca artikel ini berkata pada dirinya, ‘Aku bukan macam tu’, mungkin ada kekurangan hormon progesterone mahupun testosterone di mana-mana. Mungkin kurang ‘di situ’ (:-“ bersiul-siul). Apabila keadaan serba tidak kena berlaku dan lelaki mula menghilangkan diri, samada sebelum itu sudah diberitahu atau tidak perihal pemergiannya, wanita akan mula berasa risau dan tidak selamat. Antara perkara yang mungkin menghantui diri mereka, adakah kekasih mereka meragui perasaannya ataupun adakah dia sudah menemui cinta baru.

Wanita juga kadangkala berasa ragu-ragu terhadap hubungan mereka tetapi oleh kerana wanita selalu menerima assurance (aku dah cuba cari perkataan yang sesuai tapi tak keluar dari otak) maka keraguan itu akan reda buat sementara. Perkara ini akan berulang untuk wanita tetapi tidak untuk lelaki yang mempunyai ego serta perasaan bangga diri yang tinggi kerana lelaki-lelaki ini lebih banyak ‘memberi’ assurance dari ‘menerima’. Aku pasti pada ketika ini ramai wanita akan berkata, ‘Kenapa perlu ego sangat?’ dan soalan ini boleh diumpamakan seperti bertanya kenapa gula rasanya manis atau kenapa penipu boleh menjadi ahli politik. Ini adalah aturan alam. Pelbagai lagi tekanan dan masalah yang terkumpul dalam minda lelaki dan iya, semua ini disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri kerana tidak dapat menerima kelemahan mereka.

Kebanyakkan wanita dewasa tahu perihal; lelaki kadangkala memerlukan masa dan ruang untuk bersendirian. Masa dan ruang ini tidak perlu diberikan ketika keadaan cinta sedang mekar dan tiada masalah (sekali lagi aku ingatkan artikel ini lebih kepada pendapat peribadi). Masa dan ruang ini perlu diberikan bila ia diminta, ataupun apabila lelaki itu menghilangkan diri. Masa dan ruang ini perlu diberi kepada lelaki apabila keadaan serba tidak kena berlaku. Wanita boleh mengambil langkah mencari dan cuba memujuk lelaki itu tetapi tindakan ini amatlah tidak digalakkan. Kepada pihak wanita, jangan menganggap bahawa keadaan ini tidak adil kerana wanita memberi masa dan ruang kepada lelaki untuk membuat keputusan dan menerima sahaja segala bentuk keputusan itu. Wanita juga boleh membuat keputusan sebenarnya pada masa itu. Keputusan ini, tidak kisah yang datang dari pihak lelaki atau perempuan, sebenarnya membuktikan kepercayaan masing-masing terhadap hubungan itu. Jika kekasih kita membuat keputusan untuk berpisah, dan setelah dipujuk rayu dia masih lagi kekal dengan keputusan itu, terimalah. Redha. Ingat, hubungan cinta itu tidak bernilai lagi apabila kepercayaan dan nilainya sudah hilang tetapi diganti dengan perasaan memaksa diri dan bersabar semata-mata.

Kesimpulannya, wanita memerlukan janji-janji dan assurance manakala lelaki pula kadangkala memerlukan masa dan ruang dan, begitu juga sebaliknya. Percaya pada hubungan itu penting dan paksaan akan mengurangkan nilai cinta. Jangan mengelak dari masalah tetapi cubalah hadapinya.

 

 
                                                                                              Hit 
Counter